Tuesday, December 30, 2014

Pemakanan Satva


Pemakanan sattva merujuk kepada pemakanan yoga atau pemakanan yang menjana kesedaran. Ia merupakan pemakanan yang berdasarkan kepada ajaran ayurveda, yoga, jina dan mempunyai tahap guna yang tinggi. Ia membawa kepada minda yang lebih jelas, tenang dan berguna kepada tubuh.

Makanan tersebut termasuklah air, bijirin, kekacang bertangkai, sayuran, buah-buahan, kacang-kacang, susu yang tidak terpastur dan asli, serta bahan-bahan berasaskan susu misalnya seperti minyak sapi, mentega, keju, krim dan susu masam. Selain itu, madu asli juga dianggap sebagai satva.

Pemakanan yang Tradisional

Kekacang dan bijian yang segar dan tidak digoreng melampau atau tidak digaramkan merupakan satu tambahan yang baik dalam pemakanan sattva. Ia diambil secara sedikit-sedikit. 

Setengah pilihan seperti kacang almond terutamanya yang dikupas dan direndam semalaman, kelapa, kacang pokok rhu, bijan, biji labu dan biji bunga matahari. 

Minyak yang digunakan pula haruslah dari kualiti terbaik dan diperah sejuk. Setengah pilihan minyak yang baik adalah minyak zaitun, minyak bijan dan minyak biji bunga matahari. 

Sayuran

Kebanyakan sayuran yang lembut dikira sebagai satva. Sayuran tajam seperti cili, tomato, terung, bawang puteh dan bawang terkeluar dari senarai satva. Makanan lain seperti cendawan dan kentang merupakan punca angin. Jadi cendawan dan kentang dikira sebagai raja dan tama

Kadang-kadang kesan buruk makanan-makanan ini boleh dielakkan dengan mengatasinya melalui penyediaan makanan yang baik. Amalan meminum jus sayuran segar bagus untuk prana, enzim-enzim hidup dan mudah diserap tubuh.

Bijirin Penuh

Bijirin penuh membekalkan keperluan tubuh. Setengahnya termasuklah beras organik, gandum asli, gandum spelt (Eropah), oatmeal dan barli. Kadang-kadang bijirin digoreng sedikit sebelum dimasak bagi membuang kualiti beratnya. Roti beryis tidak digalakkan kecuali jika dibakar. 

Gandum dan bijirin lain boleh dibela sampai bertunas sebelum dijadikan tepung. Setengah persediaan adalah dalam bentuk kichari (beras basmati perang atau putih yang dimasak dengan kacang hijau, minyak sapi atau rempah lembut), khir (beras dimasak dengan susu dan dimaniskan), chapati (roti penuh yang tak diperbuat dari tepung atta) dan roti yang diperbuat dari bijiran bertunas. 

Setengah yogi akan mengelakkan bijirin sepanjang amalan-amalan yang khas. 

Kekacang

Kacang hijau, lentil, kacang dhal, kacang kuda, kacang merah, kacang biasa, tauhu organik dan taugeh dianggap juga sebagai sattva jika disediakan dengan betul. Umumnya kacang yang kecil lebih mudah untuk dihadamkan. Penyediaan kacang termasuklah memecahkannya dua, mengupas kulit kacang, mengisar, menjadikannya tunas, memasak dan merempah. Kekacang yang digabungkan dengan bijirin penuh mampu memberikan punca protein yang lengkap kepada tubuh. 

Pemanis

Setengah yogi menggunakan madu yang selalunya dicampur susu dan sejenis gula mentah. Dalam setengah tradisi, gula dan madu dielakkan dari pemakanan.

Rempah-Ratus

Rempah satva biasanya jenis lembut termasuklah daun selasih, buah pelaga, kulit kayu manis, ketumbar, jintan puteh, halba, halia segar dan kunyit. Rempah yang raja seperti lada hitam, cili merah dan bawang puteh dielakkan dari pemakanan. Kadang-kadang sahaja digunakan dalam kadar sedikit untuk membersihkan hingus dalam saluran pernafasan dan untuk melawan tama dalam badan.

Herba Sattva

Herba lain yang digunakan untuk menyokong sattva dalam minda dan semasa bertapa adalah ashva gandha, bacopa, calamus, pegaga, pegaga cina, jatamansi, purnavarnava, shatavari, saffron, shankha pushpi, tulsi dan mawar.

Makanan Merangsang

Kadang-kadang disebut juga sebagai makanan raja atau yang boleh bermutasi sering menyebabkan keletihan kepada minda. 

Tak sepenuhnya berguna dan tak sepenuhnya merosak kepada minda dan tubuh. Makanan yang tak dapat dikategorikan sebagai tetap atau tak tetap akan dimasukkan ke dalam kumpulan makanan ini. Makanan sebegini dikatakan membawa kepada sikap ganas dan pemikiran suka menakluk terutamanya orang lain. Makanan sebegini memberi tenaga dan membangunkan chakra manipura di pusat serta tubuh tetapi tidak membawa seseorang itu ke chakra yang lebih atas.

Jenis makanan ini termasuklah teh dan minuman berkafein, coklat, makanan pedas dan berempah, serta garam.  

Makanan Penyebab Khayal

Juga disebut sebagai tama atau melemahkan. Menurut sistem yoga, makanan ini jika diambil membawa kepada kelemahan minda dan tubuh. Ia menyebabkan minda menjadi mudah bosan dan tahap kesedaran yang tidak begitu stabil.

Bagi tubuh pula, makanan yang membahayakannya adalah yang menyebabkan tekanan kepada anggota badan secara terus atau tidak langsung melalui ketakseimbangan tubuh. Makanan begini penting semasa waktu tekanan besar dan kesakitan. Ia mengurangkan kesakitan dan merendahkan kesedaran kita, jadi tubuh badan kita boleh sembuh sendiri. Makanan seperti ini dianggap penting pada masa tekanan besar dan peperangan.  

Makanan tama merangsang dan menguatkan dua chakra rendah kita tetapi tidak membantu pembangunan kita ke chakra tertinggi. Ia tidak baik terhadap kemajuan kita ke chakra tertinggi.

Makanan sebegini termasuklah daging, ikan, bawang, bawang putih, bawang besar, segala macam daun bawang, cendawan, minuman memabukkan, ganja, dan makanan basi.

Rujukan Sutra

Patanjali dalam Yoga Sutra bahagian Niyama menyebut perkataan tapa. Tapa disini termasuklah ahara niyam iaitu makanan yang bertepatan dengan jumlah sedikit. Jadi, niyama merupakan disiplin individu yang antaranya termasuk juga peraturan dalam tabiat pemakanan. 

Dalam sutra lain misalnya Hatha Yoga Pradhipika pun ada menyebut mengenai pranayam yang menekankan tabiat pemakanan yang menurut kaedah betul. 

Pemakanan Musim Sejuk


Fahami Musim Sejuk dan Keperluan Tubuh

Musim sejuk di India selalunya mempunyai reputasi yang buruk. Terkenal sebagai musim selesema, musim demam dan musim penyakit berkaitan salur pernafasan yang berjangkit. Samalah di Asia Tenggara pun musim hujan atau musim air bah merupakan musim yang melibatkan penyakit-penyakit seperti demam, selesema, sakit mata, dan sebagainya.

Menurut kepada Maharesi Ayurveda, musim sejuk merupakan raja segala musim! Musim sejuklah musim yang bagus bagi kita mempertingkat ketahanan tubuh. Jika anda tahu keperluan tubuh maka musim sejuk itu bukanlah sesuatu musim yang melemahkan.

Dalam istilah Ayurveda, ketahanan tubuh melawan penyakit ini berkaitan rapat juga dengan penghadaman. Apabila penghadaman makanan itu kuat, maka selera makan pun baik dan ketahanan tubuh pun kuat. Perkara yang melemahkan penghadaman, maka ia pun melemahkan ketahanan tubuh. Ringkas saja... 

Di samping pemakanan dan gaya hidup, tedapat lagi punca lain yang boleh menggalakkan ketahanan tubuh itu. Antaranya adalah umur, ciri-ciri keturunan yang diwarisi, serta musim. Adalah tidak mustahil pun untuk memperkembang ketahanan tubuh dalam menghadapi jatuh naik kehidupan serta kekal kukuh tidak tumbang begitu cepat.

Musim sejuk sebenarnya adalah musim ketika alam semulajadi sedang bersedia untuk menjaga kita. Tahap penghadaman kita sebenarnya berada di tahap tertinggi pada musim sejuk. Kita akan terasa lapar pada musim sejuk dan penghadaman kita akan bergerak cepat menghancurkan makanan sekaligus memudahkan penyerapan makanan ke bahagian-bahagian tubuh.

Atas sebab ini, penting sekali orang ramai mengambil makanan yang meningkatkan ketahanan tubuh! Jadi, cubalah selak-selak rutin pemakanan menurut cara Ayurveda juga. Gaya pemakanan begini diwajibkan amalannya semasa musim sejuk. 

Musim sejuk ini, kenalah banyakkan berehat dan makan dengan betul. Musim lain pula kita harus lebih banyak memurnikan tubuh. Musim sejuk adalah musim membina rupakara dan menyediakan bekal buat tubuh seperti rambut, kulit dan kuku. 

Sangat bagus juga mengambil rasayana dan barangan berasaskan rempah kerana bahan-bahan ini akan diserap tubuh dengan lebih cepat pada musim sejuk.

Sunday, November 30, 2014

Emas Rawat Barah Otak


Kajian terbaru mendapati bahawa serbuk emas boleh membantu pesakit barah otak melawan pertumbuhan serta penularan sel-sel barah.

Pakar perubatan British menggunakan kombinasi ubat barah Cisplatin dan serbuk emas yang begitu halus untuk membunuh sel-sel barah. Dalam manuver 'Kuda Trojan', zarah logam ini digunakan untuk memasukkan ubat di sel-sel yang sakit serta menghancurkannya.

Rawatan terkini itu direka khas untuk mengubati Gliobastomas iaitu ketumbuhan otak yang paling umum dan berbahaya. Seorang penyelidik, Sir Mark Welland dari Kolej St. John di Universiti Cambridge, menggunakan serbuk emas yang cukup halus dengan mudahnya masuk ke sel barah dan melekatkan Cisplatin padanya.

Kajian makmal ke atas sel barah pesakit menunjukkan bahawa emas akan mengeluarkan sinar-x setelah masuk ke sel ketumbuhan. Kemudian, ia melepaskan elektron negatif yang merosakkan sel-sel barah seterusnya memudahkan ubat tadi membunuh sel tersebut.

Welland menyebut bahawa rawatan "Kuda Trojan" ini boleh juga diguna pada jenis barah yang lain. Kombinasi emas dan ubat ini lebih berkesan daripada penggunaan salah satu bahan saja. Ia dipercayai boleh menghapuskan barah secara menyeluruh.

Mi Segera Tingkatkan Risiko Penyakit Kardiovaskular


Pengambilan mi segera sebanyak tiga kali seminggu boleh meningkatkan lagi risiko penyakit kardiovaskular termasuk diabetes, strok, dan sakit jantung.

Penyelidikan terbitan Journal of Nutrition mendapati bahawa sistem penghadaman tubuh sukar untuk mencerna mi segera berbanding dengan mi segar. Hal ini kerana, menurut pakar gastrointestinal di Hospital Massachusetts, Boston, Braden Kuo, kebanyakan mi segera mengandungi bahan kimia Butil Tertier Hidrokuinon (TBHQ) iaitu pengawet makanan yang merupakan produk Biobutana yang digunakan dalam industri petroleum.

"Kami memasukkan sebuah kamera kecil ke dalam sistem penghadaman dan mendapati mi segera tidak mudah dicerna meskipun selepas dua jam dihadam dalam perut. Selain itu, ia juga mengandungi garam dan bahan pengawet yang tinggi. Semua ini boleh meningkatkan lagi risiko sakit jantung, strok, dan darah tinggi."

Sementara itu, ketua penyelidik, Dr. Hyun Joon Shin berkata, mi segera juga didapati memudaratkan kesihatan wanita. Bahan kimia toksik Bisfenol A yang ada dalam bekas polisterin yang turut diguna dalam bekas pembungkus mi segera boleh menjejaskan hormon estrogen sekaligus mengancam kesuburan.

Thursday, August 21, 2014

Kopi Bagus untuk Pendengaran


Kajian terbaru menunjukkan bahawa pengambilan secawan kopi sehari mampu mencegah tinitus atau bunyi berdengung akibat gangguan dalam telinga berikutan jangkitan atau masalah degeneratif.

Penyelidikan yang diterbitkan oleh American Journal of Medicine mendapati bahawa kandungan kafein dalam kopi boleh menrendahkan tahap tinitus jika diambil dengan banyak. Dr. Gary Curhan menjelaskan bahawa hubungan antara kafein dalam kopi dengan tinitus belum dapat dipastikan lagi.

Penyelidikan merekodkan bahawa responden yang mengambil kurang daripada 150 mg kafein sehari lebih berisiko terkena tinitus berbanding mereka yang mengambil lebih 450-599 mg kafein sehari. Jumlah 150 mg kafein itu bersamaan dengan kira-kira lima cawan kopi. Jumlah tersebut sudah begitu besar. Pengambilan kopi berlebihan boleh menyebabkan penyakit seperti:
  • psikosis.
  • osteoporosis.
  • kekejangan otot.
Secawan dua kopi sehari pun sudah mencukupi untuk manfaat yang optimum. Seeloknya, dihidangkan tanpa perisa tambahan seperti krimer atau gula.